Monday, September 7, 2020

Warkah Satu - Luahan Hati Yang Pertama

Isi hati ini, telah lama aku pendam. Entah barangkali melebihi tempoh satu tahun. Yang aku pasti, ia makin hari makin parah, makin merosakkan jiwaku. Hampir setiap hari ingin aku luahkan padamu, namun ada sahaja halangannya. Ada waktu-waktu yang aku bagaikan tekad untuk berterus-terang padamu, namun takdir Tuhan telah menangguhkannya, ke suatu waktu yang lebih sesuai. Maka terpaksalah aku menanggung bebanan di hati, sekian lama.....sekian lama! 

Seperti mana aku tekad untuk berbicara denganmu pada waktu rehat tengahari itu, tapi sekali lagi tekadku dihalang oleh takdir. Baik. Biar aku luahkan dulu apa yang ingin aku luahkan, yang terpendam bertahun lamanya menjadi duri dalam hubungan kita. 

Aku ingin beritahu kamu, bahawa aku INGIN PERGI! Dan aku ingin kau LEPASKAN AKU PERGI.... Aku sudah tidak tahu, bagaimana rasanya bahagia bila bersama denganmu. Aku tak tahu lagi erti gembira itu apa. Aku tak kenal lagi apa rasanya dicintai. Aku rasa hubungan ini hambar, hambar... Aku bahagia sangat melihat kau tersenyum padaku, dengan senyuman manismu yang pernah menawan hatiku untuk menerima cintamu. aku bahagia sangat saat kau memelukku, merangkul bahuku, mengusap tanganku, mencium ubun-ubunku, tetapi semua itu terlalu sedikit yang aku kecapi, terlalu sedikit........... 

Lantas, dengan apa lagi aku bisa rasa bahagia saat bersamamu? Kau sering pulang dengan wajah yang kelat. Kalaupun tidak masam, senyumanmu sudah terlalu mahal untuk aku nikmati.. Kadangkala, senyum yang kulemparkan pun kau hanya pandang, jarang sekali untuk kau balas. Untuk berbicara??? Barangkali kita sudah tak sehaluan. Tiada topik menarik untuk kita sembang dengan santai dan gelak ketawa. Kadangkala, yang aku bicarakan kau malah tidak merespon apa-apa. Ada waktu-waktunya aku terpaksa bertanya sesuatu yang tak perlu, semata-mata untuk mencipta kemesraan untuk bersembang denganmu, tapi malah itu membuatkan aku rasa seperti orang bodoh, topik yang bodoh, soalan yang bodoh, dan hasilnya aku benar-benaar menjadi seorang yang naif, dhoif, bodoh, tak berpewatakan, kekampungan, dan segala-galanya yang bukan diri aku yang asal... Dan aku tak pernah merasakan ini ketika bersama adik-beradikku. Kami bebas bercakap tentang apa saja, kami tak pernah diam ketika bersama, kami tak pernah tak melayan apa saja yang dibangkitkan untuk dibualkan. Kami tak pernah kaku ketika bersama!

Aku tidak menyalahkanmu. Tetapi aku menyalahkan situasi. Mungkin kita benar-benar sudah tak sehaluan. Cara fikir kita berbeza. Cara hidup kita berbeza. Kehendak kita berbeza. Minat kita berbeza. Jadi bukan salah kau semua ini berlaku. 

Aku tidak menyalahkanmu, malah tak sepatutnya aku memaksa kau untuk berubah. Mungkin aku yang tidak pandai bersyukur, dan tidak menerima kau seadanya. Tetapi aku juga tidak mampu untuk merubah keadaan ini. Aku sudah tidak pandai bermanja denganmu lagi. Aku berasa kaku. Aku sudah tidak ada rasa untuk menunggu-nunggu kepulanganmu. Ya, kalau aku mengharap untuk kau pulangpun, mungkin demi anak-anak. Tetapi, aku juga tak lihat ada beza dalam emosi anak-anak kalau kau pulang ataupun tidak. Aku sudah tidak dapat merasa bagaimana bahagia dan gembiranya seorang isteri menanti kepulangan suaminya. Aku tak rasa! Sebagaimana indah dan tak sabarnya aku menunggu kepulanganmu dahulu di setiap petang dan pagi... Semua itu telah berakhir... telah berakhir..... 

Maafkan aku. Semua ini adalah salahku...salahku!     

Jangan Pernah Berubah

 

Kelmarin

No comments:

Post a Comment