Thursday, September 10, 2020

Coretan 1 :

Akhirnya, sesuatu yang aku pendam sekian lama, yang membebani hati dan perasaanku, berjaya jua aku luahkan. Seharuskan, aku raikan kejayaan aku ini dengan kegembiraan dan penuh kepuasan. Namun...

Hari ini, jiwaku meronta dalam tangisan. Seluruh sendi dan urat nadiku berasa lemah, longlai semuanya. Beberapa kali juga aku tewas dan menghembur esak tangis sepuas-puasnya. Kalaulah bukan berada di rumah orang, akan aku membungkamkan diri di atas katil berjam-jam lamanya, atau juga untuk seharian, melepaskan tangis semahunya.

Ya, aku inginkan perpipasahan. Aku ingin kami bawa haluan masing-masing. Aku mahu melepaskan bebanan yang aku tanggung selama ini. Tetapi permintaanku ini malah memberi kesakitan yang amat sangat kepadaku, sama seperti kesakitan untuk terus bertahan melewati hari-hari bersamanya. 

Manakan tidak, dia insan yang sangat aku cintai sepenuh hatiku. Seluruh jiwa dan cintaku kutumpahkan hanya padanya. Dia yang membelai hati dan jiwaku selama ini. Dia yang mengisi kekosongan hidup ini. Dia yang menyatakan kasih... Dia yang mengorbankan kebahagian hidupnya untuk bersama aku.. Dia yang berpenat lelah untuk membahagiakan aku dan anak-anak selama ini... Dia yang tak pernah memarahi dan mengungkiti... Dia yang sentiasa terluka namun terus bersabar... Segala jasa dan kebaikannya takkan pernah terpadam! Dia terlalu baik untuk aku membencinya...

Namun, CINTA TAK SEMESTINYA MEMILIKI, CINTA TAK SEMESTINYA BERSAMA...  

Aku lakukan ini, bukan kerana tak cinta, tapi kerana sudah tidak merasakan cintanya lagi. Kalau dulu, cintaku padanya dipenuhi kasih dan sayang, kini cintaku padanya hanyalah diiringi simpati. Aku bertahan kerana simpati, aku bertahan kerana tak sanggup menyakiti dan mengguris hatinya, aku bertahan semuanya kerana dia dan dia. Dan hari ini, saat aku tak mahu bertahan lagi, yang membuatkan hatiku menangis dan disiat-siat, adalah kerana terpaksa mengguris hati insan yang paling baik dan mulia ini, insan yang paling aku cintai... 

Semoga dia memaafkanku. Kesekian kalinya aku katakan, semuanya bukan salahnya. Tetapi salah aku yang tidak bersyukur dan menerima dia seadaannya. Tapi aku juga tak mampu terus hidup dalam penantian dan harapan... Penantian dan harapan untuk merasa bahagia bersamanya!   


Cinta Bukan Hanya Harapan

 

No comments:

Post a Comment